"TARIM”. Nama yang sentiasa segar di hati. Bumi barakah
warisan para ulama’ yang pastinya meninggalkan seribu satu kenangan indah bagi
sesiapa yang menjejakkan kaki di sana. Begitu juga dengan saya yang
berkesempatan untuk merasai pengalaman dowrah selama 40 hari di Tarim. Tambahan
lagi, saya dan teman-teman lain diberi peluang untuk belajar di sana sepanjang
bulan Ramadhan dan 14 hari pertama pada bulan Syawal. Nikmatnya! Walaupun cuma
40 hari di sana, namun ilmu dan pengalaman berharga yang diraih terlalu banyak
untuk disebut satu persatu.
Jika bertanya tentang keselesaan, tempat tinggal kami tidaklah
mewah seperti di tanah air. Walau bagaimanapun, ia cukup selesa untuk dijadikan
tempat penginapan, malah disediakan kemudahan seperti alat hawa dingin serta
mesin basuh baju (walaupun cuma satu untuk serumah) yang kami gunakan secara
bergilir mengikut turutan masing-masing. Tambahan lagi, jarak antara sakan - iaitu tempat tinggal kami- dengan Dar
Az-Zahra’ hanya seminit sahaja. Selain itu, walaupun kami agak terbatas untuk
keluar melainkan mendapat izin daripada musyrifah, untuk barang
keperluan kami seperti pertukaran wang, membeli sabun, makanan snacks, kitab, kad prabayar dan
macam-macam lagi, semuanya boleh didapati dalam bangunan Dar az-Zahra’ itu
sendiri.

Sebaik sahaja sampainya kami di Tarim, perkara pertama yang
memberi kesan pada saya ialah semangat para penduduknya dalam mengejar nikmat
akhirat. Semangat kental dan kesibukan para ahli Tarim untuk menghidupkan
malam-malam Ramadhan dan memohon keredhaan Allah SWT membuatkan malam terasa
bagaikan siang. Suasana indah Ramadhan sentiasa dimeriahkan dengan amalan
menghadiri kelas, beriktikaf , berzikir dan ibadah lainnya. Paling tidak dapat
dilupakan ialah solat Terawih berimamkan Habib Umar! Walau pada mulanya kami
rasa agak tercabar kerana lamanya Terawih tetapi kami tekad untuk istiqamah.
Malah, ini antara yang sangat kami rindukan setelah perginya Ramadhan. Bacaan
qunut ketika solat Witr beliau pula benar-benar menyentuh jiwa sehingga
membuatkan para jemaah - termasuklah kami - mengalir airmata syahdu walaupun
kami tidak begitu mahir dalam Bahasa Arab. Rutin kebiasaan kami di bulan
Ramadhan ialah bacaan wirid sambil menunggu azan Maghrib berkumandang. Kemudian
berbuka dengan makanan ringan sebelum meneruskan langkah ke dewan solat untuk
berjemaah. Seterusnya dilanjutkan pula dengan solat qada’ Maghrib, solat Tasbih
dan solat-solat sunat lain selepas Maghrib. Setelah selesai solat sunat,
barulah kami dihidangkan dengan nasi Arab yang disediakan oleh Darul Mustafa.
Kami memang menikmati kemanisan Ramadhan di bumi Tarim. Teringat
saya akan pengalaman pertama di mana kami semua menunggu pengumuman
tentang ketibaan Syawal di musollah setelah selesai solat isya’. Jika esok
Raya, maka kami akan takbir beramai-ramai. Jika berlaku sebaliknya, maka kami mendirikan
solat Terawih. Masih terngiang lagi di telinga saya saat teman-teman berbisik,
"Harap-harap besok belum raya." Ramadhan di sana terasa seronok
kerana masing-masing sibuk mengejar tujuan yang sama iaitu meraih keredhaan
Allah SWT, apatah lagi bila teman-teman sendiri yang memberi semangat untuk
sama-sama mengejar pahala berganda. Maka, saat Habib mengumumkan bahawa esok
belum tiba bulan Syawal, sambil tersenyum kami ucapkan,
"Alhamdulillah". Suatu pengalaman yang sukar kita dapatkan di tanah
air.

Sepanjang tempoh berada di sana, kami benar-benar berasa kagum
bila melihat cara mereka mengajar anak-anak didik tentang Sayyidina Nabi Muhammad
ﷺ
dan puteri baginda, Sayidatina
Fatimah az-Zahra’ dengan penuh penghayatan dan kecintaan. Di situlah saya mula
mengenal hakikat cinta. Tidak pernah saya menjumpai suatu tempat selain di Dar
az-Zahra’ di mana orang memanggil Sayidatina Fatimah dengan panggilan
Ummina Sayidah Fatimah.
Ummi yang membawa maksud ibuku. Suatu
panggilan yang pasti akan membuatkan seseorang terasa tenang dan dekat di hati.
Di sana kami diajar begitu terperinci tentang peribadi dan kisah Sayidah
Fatimah. Jika disuruh bercerita tentang puteri baginda, banaat (para pelajar
wanita) Dar az-Zahra’ pasti gembira berkongsi ilmu tentang beliau. Malah pada
hari-hari terakhir kami di sana, terdapat dars (pengajian) yang diajar oleh
Ustazah Umm Ali, puteri Habib Umar yang mengajar kami tentang Sayidah Fatimah.
Walaupun dowrah kami selama 40 hari sahaja namun nikmat keberkatan
dari didikan para ulama’ memang ketara. MasyaAllah! Saya dan teman-teman lain
berasa sangat beruntung dan bersyukur kerana berpeluang menadah ilmu dari Habib
Umar, Hubabah Umm Salim, Ustazah Umm Ali serta para habaib dan asatizah yang
lain. Selain menghadiri kelas, kami juga secara tidak langsung belajar tentang
kepentingan adab daripada tingkah laku serta tutur bicara para banaat dan asatizah di sana yang mencerminkan
kemuliaan akhlak Sayidah Fatimah. Keikhlasan mereka dalam berkhidmat, husnuzzon (sangka baik) mereka terhadap
semua saudara, istiqamah mereka dalam amalan amr ma'ruf nahi mungkar, sifat haya’ (malu) mereka yang sentiasa terjaga,
rasa hormat mereka pada sesiapa sahaja, kesemuanya kelihatan indah dan sungguh
mengagumkan.
Syawal di sana juga tidak kurang meriahnya. Pada pagi raya, kami
mengenakan pakaian yang elok dan hadir ke musollah untuk takbir beramai-ramai
dan melakukan solat sunat Eid yang diimamkan Ustzh Umm Ali. Kemudian kami bermusafahah
dengan semua hadirat dari kalangan banaat Dar, peserta dowrah dan
penduduk Tarim dan saling mengucapkan "Eid Mubarak" dan "Selamat
Hari Raya". Setelah hari pertama Syawal, amalan ahli Tarim ialah
mereka akan kembali berpusa, membuat kami juga tidak mahu ketinggalan merebut
pahala puasa enam.
Menyentuh tentang hiburan di Tarim pula, kehidupan kami di sana
tidaklah 24 jam dengan belajar, wirid dan solat sahaja. Ada juga waktu-waktu
seronoknya di sana tetapi sudah semestinya berlandaskan hukum syari’at. Kadang
kala mereka akan mengadakan maulid, aktiviti qasidah, musabaqah
nasyid dan sebagainya. Dan di sana, setiap aktivti yang diadakan pasti
dilakukan bersama. Kami mengalunkan wirid bersama, hadir kelas bersama, bangun
untuk bertahajud bersama, makan bersama, solat pun pastinya secara berjemaah.
Memang terasa kemanisan jalinan ukhuwah di Tarim. Hatta sekiranya ada diantara kami
yang tertinggal solat berjemaah pertama, pasti ada di kalangan banaat yang sudi membantu mereka mengejar
pahala dalam solat berjemaah yang kedua.

Tentang keluar bersia-siar, memang kami pelajar perempuan agak
terbatas untuk keluar jalan-jalan tetapi sebenarnya ada juga waktu-waktu yang
kita dibenarkan untuk keluar berziarah. Antara tempat yang sempat kami kunjungi
ialah Zanbal, masjid-masjid di sana, beberapa maqam auliya’ yang berdekatan
seperti maqam Imam Al-Muhajir, maqam Syeikhah Sultanah, maqam Habib Ali
Al-Habsyi dan maqam Syeikh Abu Bakr Bin Salim. Kami juga sempat menziarahi
maqam Nabi Hud A.S. Selain itu, kami juga menziarahi Habib Salim Asy-Syatiri
dan Umm Habib Umar.



Pengalaman peribadi yang paling terkesan buat diri saya sendiri
ialah menginap di Dar Az-Zahra’ pada minggu terakhir dowrah kami di Tarim
iaitu di bulan Syawal. Itu merupakan saat-saat yang paling bahagia kerana
terasa seakan-akan menjadi pelajar di sana. Sebelum ini, kami harus menginap di
sakan disebabkan di Dar Az-Zahra’ sudah ramai. Oleh itu, sewaktu kami berpindah
dari sakan, suasana
meriahnya seperti berada di kampung halaman yang sinonim dengan semangat
bergotong-royong. Banaat di sana bergotong-royong membantu kami
mengangkatkan bagasi-bagasi berat kami ke tingkat tiga, tempat di mana kami
akan menginap. Di sana, kami dapat merasakan kehidupan seperti pelajar di sana
dan dapat menikmati futur (sarapan) dan ghada’ (makan tengahari) seperti banaat Dar, berbeza dengan keadaan kami
semasa berada di sakan di mana kami hanya makan apa sahaja
bekalan stok yang kami ada.
Pada hari keberangkatan pulang, hati kami berasa begitu berat
untuk meninggal Dar Az-Zahra'. Selepas subuh, kami tidak seceria hari-hari
lain. Basah pipi kami dengan airmata saat bersalaman dan mengucapkan selamat
tinggal pada teman-teman di sana. Sedih yang teramat sangat harus berpisah
dengan tempat yang banyak mendidik kami itu. Tidak dapat digambarkan kesedihan
di hati-hati kami pada saat itu tapi kami sangat bersyukur dipilih oleh Allah
untuk datang ke bumi barakah ini.
Segala pengalaman indah di bumi Tarim membuatkan saya semakin
rindu untuk pulang ke sana. Saya berharap agar suatu hari nanti, saya dapat
kembali ke sana dan belajar untuk menjadi Muslimah yang bukan sahaja berilmu
tetapi kaya dengan adab dan akhlak. Ya
Tariim wa ahlahaa.
Yang merindui Tarim dan ahlinya,
Atiqah Osman