Sunday, November 23, 2014

Bumi barakah penuh mutiara bernama TARIM

"TARIM”. Nama yang sentiasa segar di hati. Bumi barakah warisan para ulama’ yang pastinya meninggalkan seribu satu kenangan indah bagi sesiapa yang menjejakkan kaki di sana. Begitu juga dengan saya yang berkesempatan untuk merasai pengalaman dowrah selama 40 hari di Tarim. Tambahan lagi, saya dan teman-teman lain diberi peluang untuk belajar di sana sepanjang bulan Ramadhan dan 14 hari pertama pada bulan Syawal. Nikmatnya! Walaupun cuma 40 hari di sana, namun ilmu dan pengalaman berharga yang diraih terlalu banyak untuk disebut satu persatu.

Jika bertanya tentang keselesaan, tempat tinggal kami tidaklah mewah seperti di tanah air. Walau bagaimanapun, ia cukup selesa untuk dijadikan tempat penginapan, malah disediakan kemudahan seperti alat hawa dingin serta mesin basuh baju (walaupun cuma satu untuk serumah) yang kami gunakan secara bergilir mengikut turutan masing-masing. Tambahan lagi, jarak antara sakan - iaitu tempat tinggal kami- dengan Dar Az-Zahra’ hanya seminit sahaja. Selain itu, walaupun kami agak terbatas untuk keluar melainkan mendapat izin daripada musyrifah, untuk barang keperluan kami seperti pertukaran wang, membeli sabun, makanan snacks, kitab, kad prabayar dan macam-macam lagi, semuanya boleh didapati dalam bangunan Dar az-Zahra’ itu sendiri.

Sebaik sahaja sampainya kami di Tarim, perkara pertama yang memberi kesan pada saya ialah semangat para penduduknya dalam mengejar nikmat akhirat. Semangat kental dan kesibukan para ahli Tarim untuk menghidupkan malam-malam Ramadhan dan memohon keredhaan Allah SWT membuatkan malam terasa bagaikan siang. Suasana indah Ramadhan sentiasa dimeriahkan dengan amalan menghadiri kelas, beriktikaf , berzikir dan ibadah lainnya. Paling tidak dapat dilupakan ialah solat Terawih berimamkan Habib Umar! Walau pada mulanya kami rasa agak tercabar kerana lamanya Terawih tetapi kami tekad untuk istiqamah. Malah, ini antara yang sangat kami rindukan setelah perginya Ramadhan. Bacaan qunut ketika solat Witr beliau pula benar-benar menyentuh jiwa sehingga membuatkan para jemaah - termasuklah kami - mengalir airmata syahdu walaupun kami tidak begitu mahir dalam Bahasa Arab. Rutin kebiasaan kami di bulan Ramadhan ialah bacaan wirid sambil menunggu azan Maghrib berkumandang. Kemudian berbuka dengan makanan ringan sebelum meneruskan langkah ke dewan solat untuk berjemaah. Seterusnya dilanjutkan pula dengan solat qada’ Maghrib, solat Tasbih dan solat-solat sunat lain selepas Maghrib. Setelah selesai solat sunat, barulah kami dihidangkan dengan nasi Arab yang disediakan oleh Darul Mustafa.

Kami memang menikmati kemanisan Ramadhan di bumi Tarim. Teringat saya akan pengalaman pertama di mana kami semua menunggu pengumuman  tentang ketibaan Syawal di musollah setelah selesai solat isya’. Jika esok Raya, maka kami akan takbir beramai-ramai. Jika berlaku sebaliknya, maka kami mendirikan solat Terawih. Masih terngiang lagi di telinga saya saat teman-teman berbisik, "Harap-harap besok belum raya." Ramadhan di sana terasa seronok kerana masing-masing sibuk mengejar tujuan yang sama iaitu meraih keredhaan Allah SWT, apatah lagi bila teman-teman sendiri yang memberi semangat untuk sama-sama mengejar pahala berganda. Maka, saat Habib mengumumkan bahawa esok belum tiba bulan Syawal, sambil tersenyum kami ucapkan, "Alhamdulillah". Suatu pengalaman yang sukar kita dapatkan di tanah air.

Sepanjang tempoh berada di sana, kami benar-benar berasa kagum bila melihat cara mereka mengajar anak-anak didik tentang Sayyidina Nabi Muhammad dan puteri baginda, Sayidatina Fatimah az-Zahra’ dengan penuh penghayatan dan kecintaan. Di situlah saya mula mengenal hakikat cinta. Tidak pernah saya menjumpai suatu tempat selain di Dar az-Zahra’ di mana orang memanggil Sayidatina Fatimah dengan panggilan Ummina Sayidah Fatimah. Ummi yang membawa maksud ibuku. Suatu panggilan yang pasti akan membuatkan seseorang terasa tenang dan dekat di hati. Di sana kami diajar begitu terperinci tentang peribadi dan kisah Sayidah Fatimah. Jika disuruh bercerita tentang puteri baginda, banaat (para pelajar wanita) Dar az-Zahra’ pasti gembira berkongsi ilmu tentang beliau. Malah pada hari-hari terakhir kami di sana, terdapat dars (pengajian) yang diajar oleh Ustazah Umm Ali, puteri Habib Umar yang mengajar kami tentang Sayidah Fatimah.

Walaupun dowrah kami selama 40 hari sahaja namun nikmat keberkatan dari didikan para ulama’ memang ketara. MasyaAllah! Saya dan teman-teman lain berasa sangat beruntung dan bersyukur kerana berpeluang menadah ilmu dari Habib Umar, Hubabah Umm Salim, Ustazah Umm Ali serta para habaib dan asatizah yang lain. Selain menghadiri kelas, kami juga secara tidak langsung belajar tentang kepentingan adab daripada tingkah laku serta tutur bicara para banaat dan asatizah di sana yang mencerminkan kemuliaan akhlak Sayidah Fatimah. Keikhlasan mereka dalam berkhidmat, husnuzzon (sangka baik) mereka terhadap semua saudara, istiqamah mereka dalam amalan amr ma'ruf nahi mungkar, sifat haya’ (malu) mereka yang sentiasa terjaga, rasa hormat mereka pada sesiapa sahaja, kesemuanya kelihatan indah dan sungguh mengagumkan.

Syawal di sana juga tidak kurang meriahnya. Pada pagi raya, kami mengenakan pakaian yang elok dan hadir ke musollah untuk takbir beramai-ramai dan melakukan solat sunat Eid yang diimamkan Ustzh Umm Ali. Kemudian kami bermusafahah dengan semua hadirat dari kalangan banaat Dar, peserta dowrah dan penduduk Tarim dan saling mengucapkan "Eid Mubarak" dan "Selamat Hari Raya". Setelah hari pertama Syawal, amalan ahli Tarim ialah mereka akan kembali berpusa, membuat kami juga tidak mahu ketinggalan merebut pahala puasa enam.

Menyentuh tentang hiburan di Tarim pula, kehidupan kami di sana tidaklah 24 jam dengan belajar, wirid dan solat sahaja. Ada juga waktu-waktu seronoknya di sana tetapi sudah semestinya berlandaskan hukum syari’at. Kadang kala mereka akan mengadakan maulid, aktiviti qasidah, musabaqah nasyid dan sebagainya. Dan di sana, setiap aktivti yang diadakan pasti dilakukan bersama. Kami mengalunkan wirid bersama, hadir kelas bersama, bangun untuk bertahajud bersama, makan bersama, solat pun pastinya secara berjemaah. Memang terasa kemanisan jalinan ukhuwah di Tarim. Hatta sekiranya ada diantara kami yang tertinggal solat berjemaah pertama, pasti ada di kalangan banaat yang sudi membantu mereka mengejar pahala dalam solat berjemaah yang kedua.

Tentang keluar bersia-siar, memang kami pelajar perempuan agak terbatas untuk keluar jalan-jalan tetapi sebenarnya ada juga waktu-waktu yang kita dibenarkan untuk keluar berziarah. Antara tempat yang sempat kami kunjungi ialah Zanbal, masjid-masjid di sana, beberapa maqam auliya’ yang berdekatan seperti maqam Imam Al-Muhajir, maqam Syeikhah Sultanah, maqam Habib Ali Al-Habsyi dan maqam Syeikh Abu Bakr Bin Salim. Kami juga sempat menziarahi maqam Nabi Hud A.S. Selain itu, kami juga menziarahi Habib Salim Asy-Syatiri dan Umm Habib Umar.




Pengalaman peribadi yang paling terkesan buat diri saya sendiri ialah menginap di Dar Az-Zahra’ pada minggu terakhir dowrah kami di Tarim iaitu di bulan Syawal. Itu merupakan saat-saat yang paling bahagia kerana terasa seakan-akan menjadi pelajar di sana. Sebelum ini, kami harus menginap di sakan disebabkan di Dar Az-Zahra’ sudah ramai. Oleh itu, sewaktu kami berpindah dari sakan, suasana meriahnya seperti berada di kampung halaman yang sinonim dengan semangat bergotong-royong. Banaat di sana bergotong-royong membantu kami mengangkatkan bagasi-bagasi berat kami ke tingkat tiga, tempat di mana kami akan menginap. Di sana, kami dapat merasakan kehidupan seperti pelajar di sana dan dapat menikmati futur (sarapan) dan ghada’ (makan tengahari) seperti banaat Dar, berbeza dengan keadaan kami semasa berada di sakan di mana kami hanya makan apa sahaja bekalan stok yang kami ada.

Pada hari keberangkatan pulang, hati kami berasa begitu berat untuk meninggal Dar Az-Zahra'. Selepas subuh, kami tidak seceria hari-hari lain. Basah pipi kami dengan airmata saat bersalaman dan mengucapkan selamat tinggal pada teman-teman di sana. Sedih yang teramat sangat harus berpisah dengan tempat yang banyak mendidik kami itu. Tidak dapat digambarkan kesedihan di hati-hati kami pada saat itu tapi kami sangat bersyukur dipilih oleh Allah untuk datang ke bumi barakah ini.

Segala pengalaman indah di bumi Tarim membuatkan saya semakin rindu untuk pulang ke sana. Saya berharap agar suatu hari nanti, saya dapat kembali ke sana dan belajar untuk menjadi Muslimah yang bukan sahaja berilmu tetapi kaya dengan adab dan akhlak. Ya Tariim wa ahlahaa.






Yang merindui Tarim dan ahlinya,
Atiqah Osman